Sunday, February 06, 2005
AMINAH Si Bunga Quraisy.


Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murah dilahirkan pada pertengahan 6 Masihi datang dari keluarga aristokrat Arab yang dihormati. Gadis pingitan ini dianggap sebagai bunga Quraisy kerana begitu banyak mata yang tertawan padanya tetapi tidak ramai yang berani mendekati kerana kedudukan keluarga mereka.
Kota Mekah tiba-tiba diserang bala, kemarau berpanjangan sehingga semua punca air hampir kering. Ketua puak Mekah, Abu Mutalib jadi bimbang, lantas bernazar sekiranya sumber tenaga Zamzam (yang sebelum itu dikambus puak Jurhum) berjaya ditemui, dia akan mengorbankan salah seorang anaknya.
Akhirnya punca telaga berjaya ditemui, nazar dibuat dan jatuh pada anak bongsu kesayangan yang baru berumur 18 tahun, Abdulllah. Anak itu dibawa ke pintu Kaabah dan ketika pisau dikeluarkan untuk menyembelihnya, saudara mara membangkang hasrat Abdul Mutalib. Sebaliknya mereka menyarankan agar hal itu dirujuk kepada tukang tilik Hijjaz di Khaibar.
Abdul Mutalib akhirnya akur. Utusan dihantar ke Khaibar untuk mendapatkan kepastian. Penduduk Mekah berdebar-debar menanti. Satu kota tahu, Abdullah adalah pemuda paling kacak di situ. Cahaya yang memancar di dahinya membuatkan ramai gadis yang gila bayang. Antaranya termasuklah Ruqaiyah Naufal, Fatimah Murr dan Laila al-Adawiyah yang terang-terang menyatakan perasaan dan menawarkan diri untuk menjadi isteri Abdullah.

UNDIAN DIBUAT

Tukang tilik di Khaibar membuat keputusan supaya Abdullah ditebus dengan sepuluh ekor unta di pintu Kaabah dan kemudian undian dibuat antara unta dengan Abdullah. Sekiranya nama unta yang keluar, selamatlah Abdullah tetapi jika nama Abdullah yang keluar, sepuluh ekor unta yang baru akan ditambah dan undian baru akan dibuat lagi.
Rombongan itu akhirnya kembali ke Mekah. Abdullah dan sepuluh ekor unta diletakan di hadapan Kaabah dan undian dibuat. Semua berharap undian akan jatuh pada tebusan Abdullah tetapi ia tetap keluar pada nama Abdullah. Sehingga bilangan unta yang ditambah genap 100 ekor, barulah undian jatuh pada tebusan Abdullah. Untuk menyakinkan orang ramai, tiga kali undian dibuat dan kali ini semuanya jatuh pada nama unta. Akhirnya anak muda itu dibebaskan dan orang ramai bersorak gembira menyambut 'kemenangan' itu.
Yakin sembahannya diterima tuhan berhala, Abdul Mutalib menyembelihkan semua unta yang ada dan dagingnya ditinggalkan untuk dikutip penduduk Mekah. Berita itu disebarkan ke seluruh Kota Mekah dan Aminah turut menerima berita itu dengan hati senang.
Utusan keluarga Abdul Mutalib telah ke kediaman Wahab bin Abdul Manaf untuk meminang anak gadis ketua Bani Zuhrah itu.
Berita keluarga Abdullah meminang Aminah membuatkan ramai gadis yang patah hati.Cahaya yang memancar di dahi Abdullah yang membuatkan ramai gadis jatuh cinta terhadapnya kini berpindah kepada Aminah selepas mereka mendirikan rumah tangga.
Pada malam pertama perkahwinan mereka, Aminah bermimpi dia melihat satu cahaya muncul dari dalam dirinya, lalu menerangi alam sekitarnya.Terangnya cahaya itu sehingga dia dapat melihat istana-istana Kaisar di Rom dan ada satu suara menyerunya " Engkau mengandungkan pemimpin umat ! "

CAHAYA MENINGGALKANMU

Mimpi itu membuatkan dia teringat pada kata-kata seorang tukang tilik wanita berbangsa Quraisy, Saudak Bani Zuhrah al-Kilabiyah yang pernah memberitahu Bani Zuhrah, akan ada dikalangan mereka seorang pengancam ( atau bakal melahirkan pengancam.) Apabila ditanya siapa yang dimaksudkan dikalangan puteri-puteri Bani Zuhrah, wanita itu menunding ke arah Aminah.
Dia menceritakan kepada Abdullah, dan suaminya itu teringat dia pernah bertanya kepada Ruqaiyah mengapa wanita itu tidak lagi menawarkan dirinya untuk menjadi isteri Abdullah selepas Abdullah berkahwin dan jawab Ruqaiyah, " Cahaya yang ada padamu telah meninggalkan kamu. Kini aku tidak memerlukan kamu lagi."
Fatimah Murr ketika ditanya, juga memberikan jawapan hampir sama. " Aku bukan wanita jahat tetapi apabila melihat cahaya diwajahmu, aku ingin memilikimu. Namun Allah tidak mengizinkan dan memberikannya kepada orang yang dikehendaki." Sementara Laila al-Adawiyah berkata, "Dahulu aku melihat cahaya bersinar antara dua matamu, kerana itu aku harapkan kamu.Tetapi kamu menolak.Kini kamu mengahwini Aminah dan cahaya itu telah hilang."
Pasangan itu hidup bersama 10 hari sebelum Abdullah menerima tugasan daripada bapanya supaya mengikut kumpulan pedagang ke Syam. Aminah tinggal ditemani pembantunya, Ummu Aiman. Tetapi malangnya, Abdullah yang dalam perjalanan pulang telah diserang demam panas sehingga membuatkan dia terlantar di Yathrib.
Berita itu disampaikan kepada Aminah dan selang beberapa hari kemudian, menyusul berita kematian Abdullah, dalam usia yang terlalu muda, 18 tahun, dan tidak sempat bertemu isterinya buat kali terakhir, yang ketika itu

sudah hamil.

SAAT MELAHIRKAN

Beberapa bulan kemudian, Mekah digamatkan dengan ancaman serangan oleh Raja Abrahah yang mahu merobohkan Kaabah. Penduduk tidak berupaya mempertahankan rumah Allah itu lantas melarikan diri keluar kota. Mereka pasrah bahawa " Rumah itu ada Tuannya, Biarlah ia dilindungi oleh Tuannya sendiri daripada musuh." Akhirnya dengan kuasa Allah, Sekawan burung Ababil dihantar untuk menyerang tentera bergajah itu.
Musnahnya tentera Abrahah menjadi bualan ramai. Ketika itu Aminah merasakan dia sudah hampir melahirkan anaknya. Akhirnya pada subuh , Isnin Rabiul Awal pada tahun Gajah itu, Aminah selamat melahirkan anaknya dengan dikelilingi cahaya-cahaya dari segenap sudut alam. Pada sebelah paginya Abdul Mutalib diberitahu mengenai kelahiran cucunya, yang lahir dalam keadaan luar biasa, "Keluar dalam keadaan sujud, kemudian dia mengangkat kepala ke langit."
Selama beberapa tahun anaknya Muhammad yang mirip wajah Abdullah dipelihara oleh Halimah as-Saadiah diluar Mekah. Anaknya berusia enam tahun apabila Aminah teringin hendak menziarahi kubur suaminya di Yathrib. Bersama Ummu Aiman dan Muhammad, mereka menumpang satu kalifah yang ingin ke Syam sehingga tiba di rumah saudara-mara di Yathrib.
Kiranya itulah perjalanan terakhir untuk Aminah. Selepas menziarahi pusara suami, dalam perjalanan pulang antara Mekah dan Madinah, dia jatuh sakit dan meninggal dunia di situ.
Dia pergi tanpa meninggalkan apa-apa. Hanya satu harta yang paling berharga yang ditinggalkan iaitu Muhammad yang 34 tahun kemudian muncul sebagai utusan Allah yang agung.


tulips by Nama Saya Binti Abah Saya at 4:24 PM
Comments: Post a Comment


Archives
Red Tulip
January 2005 February 2005 March 2005 April 2005 June 2005 July 2005 August 2005 September 2005 October 2005 November 2005 December 2005 January 2006 February 2006 November 2007 May 2008 June 2008

Did you miss?
Sebaik-baik Wanita
Pemberian Yang Tidak Di Minta Balas
Asing..
Kata-kata yang menjadi Doa..
"Hiduplah seperti lilin menerangi orang lain, jang...
Seusai Usia Senja..
Anugerah Kebahagiaan..
Mimpi Yang Tak Sudah..
Terima Kasih..
hope you like this


Navigate


Friends




Powered by
Movable Type

Designed by sarah of
Glen Road Girls

Image courtesy of
Pix Pics